Perginya seorang Emak . Al-Fatihah

Salam buat warga bloggers .

Setelah beberapa minggu aku lalui hari-hari yang begitu sukar, hari ini aku diberi kesempatan untuk berkongsi tentang seorang ibu yang telah pergi mengadap Ilahi . Ibu yang dimaksudkan ialah ibu kepada tunang aku . Ibu yang dimana aku telah menganggapnya seperti ibuku sendiri. Ibu kepada sepuluh orang anak yang begitu kuat dan tabah menjalani kehidupannya semasa beliau masih hidup . 

Emak adalah orang yang  melahirkan kita ke dunia. Emak mengasuh dan mendidik kita sejak kecil dengan penuh kasih sayang. Kasih emak tiada batasannya dan tidak  dapat dicari ganti . Emak memainkan peranan yang penting dalam kehidupan setiap keluarga . Kebanyakan anak berasa sungguh bahagia kerana mempunyai emak yang prihatin dan penyayang . Oleh itu, tidak dinafikan bahawa kasih sayang emak terhadap anak amat penting sekali .

Tanggal 20hb Ogos 2013 emak tunang aku telah menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) pada pukul 2:30 petang . Emak meninggal akibat kanser paru-paru yang pada ketika itu sudah di tahap keempat . Lebih kurang 2-3 bulan emak menderita sakit itu . Walaupun emak dalam keadaan lemah dan tenat, emak masih kenal dan ingat semua anak-anaknya . Emak memang seorang ibu yang kuat . 

Pemergian emak sedikit sebanyak mengganggu emosi aku . Emak yang telah aku anggap seperti ibu sendiri kini tiada lagi . Emak yang selalu senyum pada aku bila aku pulang ke rumahnya . Emak yang sentiasa cium pipi aku ketika aku hendak pulang . Emak yang selalu mengambil berat tentang aku . Sekarang semua itu tiada lagi . Aku cuba pasrah walau aku tahu apa yang sedang bergolak dalam hati dan jiwa aku ini adalah sesuatu yang kucar-kacir .

Aku sedang berperang dengan kerinduan seorang emak . Rindunya pada emak . Lebih rindu apabila pulang ke kampung, melihat katil mak yang kini kosong yang tinggal cumalah tilam dan bantal . Rindu pada suasana ketika mak masih ada, selalu duduk di dapur tengok emak buat kuih, tengok mak masak, tengok mak buat lontong . Rindukan gelak tawa mak, rindukan nasihat dan kata-kata mak . Rindukan segalanya . 

Apa yang lebih terkilan, mak tidak sempat melihat anak lelakinya berkahwin . Mak selalu bertanyakan persiapan perkahwinan, tanya tentang apa yang dah buat, apa yang belum . Emak juga berkata beliau seronok kerana bakal melihat anak lelakinya yang dulunya degil dan nakal, kini sedang bersiap sedia untuk memikul tanggungjawab yang lebih besar . Sayangnya, hajat emak tidak kesampaian kerana Allah lebih sayangkan beliau . Hanya tinggal beberapa bulan sahaja tetapi dalam beberapa bulan itu kita tidak dapat menjangkakan apa akan berlaku. "Lyn tahu emak sentiasa melihat walaupun dari jauh" 

Aku bersyukur kerana seksa yang dialami oleh emak tidak terlalu lama dan beliau pergi dengan sungguh tenang . Setenang-tenangnya . Allah telah memudahkan pemergiannya . ALHAMDULILLAH . Segalanya dilakukan dengan baik . Terima kasih pada semua yang memberikan ucapan takziah dan menghulurkan segala bantuan kepada keluarga tunangku . 

Semoga rohnya dicucuri rahmat . AL-FATIHAH buat emak . Semoga tenang engkau disana .

Mendung mulai murung
kini tiada lagi, segalanya sejarah
senyuman ibu
belaian ibu
tangisan ibu
gurauan ibu
gembira ibu
ketawa ibu
semua tiada lagi
mereka bersama ibu
pulang bertemu Pemilik ibu. 

Abu Hurairah R.A. berkata: Seorang lelaki datang menemui Rasulullah SAW dan bertanya:“Siapakah manusia yang paling berhak untuk aku layan dengan sebaik-baiknya?” Baginda menjawab: “Ibu kamu.” Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?” Baginda menjawab: “Ibu kamu.” Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?” Baginda menjawab: “Ibu kamu.” Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?” Baginda menjawab: “Ayah kamu.”
-Sahih Muslim-

No comments:

Post a Comment